Jumaat, 5 Julai 2019 | 6:44pm
KETUA Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor. STR/Shahnaz Fazlie Shahrizal
KETUA Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor. STR/Shahnaz Fazlie Shahrizal

2 ditahan cetak, jual sijil cuti sakit palsu

KEPALA BATAS: Dua lelaki ditahan semalam kerana terbabit dalam kegiatan menjual sijil cuti sakit palsu kononnya dikeluarkan oleh hospital kerajaan kepada orang ramai.

Dua lelaki terbabit yang masing-masing berusia 30 dan 34 tahun memalsukan nombor siri dan tandatangan doktor pada sijil cuti sakit palsu itu dan mengaut keuntungan antara harga RM10 hingga RM15 bagi sekeping.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis menerima laporan daripada seorang Pengurus Sumber Manusia di sebuah syarikat swasta memaklumkan menerima sijil cuti sakit yang kononnya dikeluarkan sebuah hospital kerajaan.

“Menurut pengurus itu, dua pekerja di syarikatnya memberikan sijil cuti sakit kepadanya namun ia didapati palsu selepas pihaknya membuat pengesahan dengan hospital terbabit.

“Pihak hospital mengesahkan bahawa nombor siri yang terdapat pada sijil cuti sakit itu adalah tidak wujud bahkan pegawai perubatan yang menandatangani sijil cuti sakit itu juga tidak berkhidmat di mana-mana jabatan di hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, hasil maklumat yang diperoleh, polis menahan dua suspek yang melakukan kegiatan pengeluaran sijil cuti sakit palsu itu di dua lokasi dekat Sungai Puyu, Butterworth dan Penaga, di sini, untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek mendapati seorang daripada mereka berperanan mencari pelanggan, manakala seorang lagi adalah dalang mencetak dan menghasilkan sijil cuti sakit palsu.

Suspek yang bekerja sebagai mekanik dan seorang lagi penganggur kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berita Harian X