Jumaat, 5 Julai 2019 | 3:37pm
PENGANGGUR, Mohd Nor Azizi Mohd Nasir, 24, dihukum penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret Ipoh setelah mengaku bersalah atas tuduhan mencuri tabung masjid sebanyak RM93 di Masjid Jamek Klebang Restu, Chemor di sini pada 1 Julai lalu. NSTP/Email

RM93 untuk enam bulan penjara

IPOH: Seorang penganggur dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri duit tabung Masjid Jamek, Medan Klebang Restu, Chemor, dekat sini, berjumlah RM93, Isnin lalu.

Mohd Nor Azizi Mohd Nasir, 24, didakwa atas kesalahan mencuri dan memiliki harta curi tabung masjid berkenaan kira-kira jam 8.30 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Mohammad dilakukan di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar dengan tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), E P Sittan.

Majistret Umzarul An-Nur menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 1 Julai lalu.

Mengikut fakta kes, perbuatan tertuduh disedari dua jemaah yang kemudian membawanya kepada pengerusi masjid dan melaporkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Pemeriksaan ke atas tertuduh menjumpai wang kertas yang tersimpan dalam poket bajunya.

Berita Harian X