LANGKAWI: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi merampas sejumlah 300 kilogram (kg) beras pulut hitam disyaki cuba diseludup dari negara jiran, dalam serbuan di sungai berdekatan Taman Nilam, di sini, hari ini.
Pegawai Pemerintah PPM Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid, berkata melalui Ops Landai kira-kira jam 11 pagi, beberapa bungkusan plastik hitam mengandungi beras pulut berkenaan dipercayai diseludup dari Thailand, ditemui ditinggalkan di dalam sebuah bot gentian.
“Pemeriksaan lanjut di kawasan itu bagaimanapun tidak menemui pemilik barangan terbabit. Malah, selepas menunggu hampir sejam, tiada sesiapa datang menuntut barangan itu.
“Semua barangan kemudian dibawa balik ke Pangkalan PPM di Bukit Malut untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Rohizan berkata, nilai keseluruhan rampasan meliputi beras pulut dan bot gentian dianggarkan bernilai RM16,000.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 22 Akta Polis 1967, iaitu harta tidak dituntut.
“PPM akan terus menjalankan pemantauan di semua jeti persendirian atau laluan tidak sah bagi mengekang kegiatan penyeludupan barang kawalan dan kesalahan lain mengikut undang-undang,” katanya.