Khamis, 4 Julai 2019 | 5:14pm
Wan Muhammed Adam maut selepas terjatuh dari bas sekolah sedang bergerak. - Ihsan pembaca

Murid maut dalam tragedi lantai bas sekolah berlubang

PASIR PUTEH: Seorang murid lelaki maut selepas terjatuh dari bas sekolah sedang bergerak dipercayai akibat terpijak lantai bas berlubang di Kampung Kandis, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi, Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, maut di tempat kejadian akibat parah di seluruh badan.

Mayat murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang itu dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk bedah siasat.

Difahamkan mangsa bersama rombongan sekolahnya dalam perjalanan ke Bukit Keluang, Besut, Terengganu bagi mengikuti Bengkel Bahasa Inggeris bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sumber yang enggan dikenali berkata rombongan itu mengikuti bengkel selama dua hari dan bertolak ke sana dengan menyewa bas.


Bas yang dinaiki Wan Muhammed Adam di Kampung Kandis, Pasir Puteh. - Ihsan pembaca

Keadaan lantai bas yang berlubang. - Ihsan pembaca

Bahagian lantai bas sekolah yang berlubang menyebabkan murid, Wan Mohammed Adam Mohd Suria,12 maut terjatuh dan digilis bas di Kampung Kandis, Pasir Puteh. - Foto Nor Amalina Alias

Katanya, mangsa dipercayai berdiri bersama beberapa rakan di bahagian hadapan bas berhampiran tangga bas.

“Saya tidak berada di dalam bas ketika kejadian dan hanya dimaklumkan kejadian itu daripada beberapa murid yang berada berhampiran.

“Murid lain beritahu ada kawasan yang berlubang di bahagian hadapan bas yang mereka pijak namun tidak pasti ditutup dengan apa ,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


Ibu mangsa, Nik Hasmani Mohamad, 44, menunjukkan gambar arwah anaknya, Wan Mohammed Adam Mohd Suria,12, yang maut terjatuh dari bas ketika ditemui perkarangan bilik mayat Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh. - Foto Nor Amalina Alias

Berita Harian X