Khamis, 4 Julai 2019 | 1:44pm
Anggota polis mengunjungi anak mangsa, Dazrin (dua dari kanan) yang menunggu bagi menuntut jenazah ibunya, Samnah Mohamed, di bilik mayat Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka. - NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber

'Kami tak dendam biarpun ayah bunuh mama'

MELAKA: “Kami tak berdendam dengan ayah kerana selama ini pun dia menjadi suami dan ayah yang baik,” kata Dazrin Mahat, 26, yang kehilangan ibu, Samnah Mohamed, 55, akibat ditikam bapanya di Taman Seri Duyong, Fasa 2 di sini pagi, semalam.

Anak kedua daripada empat beradik itu, hanya Tuhan sahaja yang berhak memberikan hukuman kepada bapanya, Mahat Jalil, 56, dan bukannya mereka sebagai anak-anak yang begitu disayanginya selama ini.

“Selama enam tahun mama sakit, ayah yang bawa mama untuk rawatan dialisis tiga kali seminggu, mengemas rumah, memasak dan mandikan mama.

“Ayah uruskan segalanya dengan penuh kasih sayang malah seboleh-bolehnya dia tidak mahu menyusahkan mama langsung,” katanya sebak ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, Samnah maut dengan empat kesan tikaman di badan.

Suaminya berusia 56 tahun cedera dengan dua kesan tikaman apabila menikam dirinya selepas itu, namun dibawa ke Hospital Melaka dan menerima rawatan di zon merah.

Mayat mangsa yang juga ibu kepada empat anak dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mengulas lanjut, Dazrin turut meminta orang ramai menghentikan sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan terutama berkaitan adik lelakinya yang turut berada di tempat kejadian sebelum ibu mereka ditikam.

“Sebenarnya adik lelaki saya itu adalah orang kurang upaya (OKU). Dia ada masalah lembam dan kejadian itu sangat memberi kesan padanya.

“Ketika kejadian, dia tergamam, terkejut kerana tidak menyangka ia boleh berlaku. Jadi tolonglah hentikan tuduhan melulu yang boleh memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan bapanya, Dazrin berkata, selepas bapanya sembuh dan selesai siasatan polis, mereka sekeluarga bercadang menghantar ayahnya tinggal berasingan untuk rawatan psikiatrik.

“Kami tidak mahu peristiwa ini berulang,” katanya sambil menambah jenazah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Seri Duyong Fasa 1 hari ini.

Berita Harian X