Khamis, 4 Julai 2019 | 12:22pm
PEGAWAI Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menunjukkan hasil ikan daripada bot pukat tunda yang ditahan kerana melanggar syarat lesen di perairan pulau Usukan, Kota Belud. - Foto ihsan APMM
PEGAWAI Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menunjukkan hasil ikan daripada bot pukat tunda yang ditahan kerana melanggar syarat lesen di perairan pulau Usukan, Kota Belud. - Foto ihsan APMM

Maritim Malaysia tahan bot pukat tunda

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot pukat tunda dan tekong serta empat awak-awak kerana melanggar syarat lesen menunda ikan kurang tiga batu nautika di Pulau Usukan, Kota Belud, semalam.

Pengarah Maritim Sabah, Laksamana Muda Maritim, Kamaruszaman Abu Hassan, berkata bot pukat tunda itu ditahan pasukan Maritim Malaysia Sabah dalam operasi khas membendung kegiatan pengeboman ikan kira-kira jam 6 petang.

“Pemeriksaan mendapati bot pukat tunda dikendalikan seorang tekong dan empat awak-awak warga Indonesia dengan muatan pelbagai jenis ikan dianggarkan 100 kilogram.

“Tangkapan dan rampasan di bawa ke jeti Maritim Negeri untuk tindakan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Kamaruszaman berkata, operasi khas itu dijalankan untuk membendung kegiatan pengeboman ikan yang giat dilakukan sekumpulan nelayan tidak bertanggungjawab di kawasan perairan Kota Belud.

“Sepanjang operasi ini dilaksanakan, belum ada tangkapan dibuat kerana tiada kegiatan pengeboman ikan dikesan.

“Ini kerana kegiatan mengebom ikan juga bergantung kepada faktor cuaca di laut. Kita ketahui pada masa kini, keadaan cuaca tidak menentu dan dan perbuatan mengebom ikan tidak berlaku.

“Maritim Malaysia Sabah juga akan melakukan operasi bersama agensi berkaitan untuk memantau dan membendung kegiatan pengeboman ikan,” katanya.

Sehubungan itu, Kamaruszaman memohon kerjasama komuniti maritim yang mempunyai maklumat atau melihat kegiatan itu sedang dilakukan untuk terus menghubungi talian 24 jam Pusat Operasi Maritim Malaysia Sabah.

Berita Harian X