Rabu, 3 Julai 2019 | 8:26pm
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud (dua dari kanan) bersama pegawai kanan polis menunjukkan ketulan kristal dipercayai syabu bernilai RM15,400 selepas dua serbuan berasingan di Kampung Seberang Pasir Mas, Salor dan di Jalan Telipot pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Pengkalan Chepa. - Foto Syamsi Suhaimi
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud (dua dari kanan) bersama pegawai kanan polis menunjukkan ketulan kristal dipercayai syabu bernilai RM15,400 selepas dua serbuan berasingan di Kampung Seberang Pasir Mas, Salor dan di Jalan Telipot pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Pengkalan Chepa. - Foto Syamsi Suhaimi

Empat individu ditahan bersama syabu RM15,400

KOTA BHARU: Empat individu termasuk seorang wanita warga Thailand ditahan menerusi dua serbuan berasingan di Kampung Seberang Pasir Mas dan Jalan Telipot, di sini, sejak kelmarin hingga semalam.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu hasil maklumat awam itu turut merampas 103 gram syabu bernilai RM15,400.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata serbuan pertama pada jam 6.30 petang di Seberang Pasir Mas kelmarin membabitkan penahanan seorang wanita warga Thailand berusia 34 tahun dan merampas 50 gram ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu bernilai RM7,500 ditemui.

“Kami menerima maklumat berhubung kegiatan dadah oleh pasangan suami isteri di rumah itu dan bertindak melakukan serbuan. Ketika serbuan dilakukan, wanita terbabit bersendirian di rumah dan berada dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan di sekitarnya menjumpai satu beg mengandungi 61 paket plastik dengan setiap satunya berisi ketulan kristal dipercayai syabu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, suspek berkahwin dengan lelaki tempatan yang bekerja sebagai mekanik dan mempunyai tiga anak berusia satu hingga enam tahun.

“Suspek tidak mempunyai rekod lampau namun hasil ujian air kencing mendapati positif dadah jenis metamphetamine. Susulan itu, suspek ditahan reman selama seminggu sehingga 8 Julai ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu katanya, pada serbuan kedua, tiga lelaki berusia 37 hingga 42 tahun ditahan di sebuah rumah dua tingkat di Jalan Telipot pada jam 5 petang semalam dan merampas 53 gram ketulan kristal dipercayai syabu bernilai RM7,900.

“Pemeriksaan menjumpai paket berisi ketulan kristal syabu di ruang tamu tingkat satu rumah berkenaan dan siasatan awal dipercayai untuk dipasarkan di sekitar bandar ini.

“Semakan terhadap ketiga-tiga suspek mendapati masing-masing mempunyai rekod lampau antara satu hingga empat kes berkait kesalahan dadah dan ujian air kencing mereka juga positif metamphetamine,” katanya.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman seminggu sehingga 9 Julai ini dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Berita Harian X