Selasa, 2 Julai 2019 | 10:17am
ENAM pekerja bot yang ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas didapati positif dadah dalam operasi pemeriksaan yang dijalankan di kawasan Pelabuhan Selat Selatan di Kota Kinabalu. - Foto ihsan PPM
ENAM pekerja bot yang ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas didapati positif dadah dalam operasi pemeriksaan yang dijalankan di kawasan Pelabuhan Selat Selatan di Kota Kinabalu. - Foto ihsan PPM

6 pekerja bot positif dadah ditahan

KOTA KINABALU: Enam pekerja bot ditahan selepas ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah dalam operasi pemeriksaan dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan Pelabuhan Selat Selatan, di sini, semalam.

Operasi khas bermula jam 9 pagi itu dijalankan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata operasi kali ini menyasarkan bot penambang, bot nelayan pukat tunda, bot nelayan motor dan bot jongkong.

Melalui operasi itu, beliau berkata, sebanyak 22 bot ditahan untuk pemeriksaan secara rawak bagi mengesan juragan atau kru yang disyaki terbabit aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Hasil operasi, seramai 101 individu diperiksa membabitkan 65 warga tempatan, 28 warga Filipina dan lapan warga Indonesia.

“Hasil ujian saringan awal air kencing di Pangkalan PPM Kota Kinabalu, mendapati enam individu positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, enam individu itu kemudian dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Berita Harian X