Isnin, 1 Julai 2019 | 9:27pm

Bakar motosikal selepas gagal dapat wang beli dadah

BUTTERWORTH: Seorang penagih dadah mengacukan pisau ke arah anggota polis yang mahu menahannya untuk siasatan berhubung tindakannya membakar motosikal milik rakan kakaknya di Bagan Dalam di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata kakak suspek yang membuat laporan polis pada jam 7 pagi, memaklumkan ada jiran melihat adiknya membakar motosikal berkenaan pada jam 6 petang semalam.

“Adik lelakinya berusia 33 tahun itu bertindak sedemikian kerana marah dan mengamuk pada ahli keluarga yang tidak memberikannya wang untuk membeli dadah.

“Susulan itu polis menahan suspek kira-kira jam 10.40 pagi tadi dan ketika ditahan, suspek tiba-tiba bertindak agresif apabila dia mengacukan pisau ke arah anggota polis, namun kecekapan polis berjaya memberkas suspek,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, siasatan terhadap suspek mendapati lelaki itu kerap mengamuk dan meminta wang daripada ahli keluarganya untuk membeli dadah.

Katanya, sekiranya ahli keluarga tidak memenuhi tuntutannya, suspek akan merosakkan barangan dalam rumah.

“Ujian air kencing mendapati dia positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X