Jumaat, 28 Jun 2019 | 9:50am
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof. - Foto Farizul Hafiz Awang
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof. - Foto Farizul Hafiz Awang

Geng Buru Tiket Murah tertipu

JERANTUT: Seorang guru wanita di sini menanggung kerugian RM60,781 selepas diperdaya seorang lelaki yang menawarkan pakej pelancongan murah ke luar negara.

Mangsa berusia 34 tahun itu juga terpaksa menggunakan duitnya sendiri selepas tiket dan hotel yang sepatutnya ditempah untuk 19 peserta pakej itu tidak dibuat suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian bermula tahun Januari lalu apabila mangsa berkenalan dengan suspek selepas mendapat nombor telefon menerusi kumpulan Whatsapp ‘Geng Buru Tiket Murah’.

“Hasil perbincangan, suspek bersetuju menguruskan trip pelancongan ke Jepun selama lima hari empat malam bermula 23 Disember tahun lalu, dengan bayaran RM3,400 seorang.

“Mangsa kemudiannya mencari 19 peserta lain dalam kalangan kenalannya untuk menyertai trip pelancongan ke Jepun itu,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, sejak 10 Januari hingga 8 Disember tahun lalu, mangsa membuat pembayaran secara berperingkat-peringkat melalui 11 transaksi ke dua akaun bank milik suspek.

“Pada awal Disember tahun lalu, suspek memaklumkan trip ke Jepun itu dipercepatkan kepada tarikh baharu iaitu pada 7 Disember hingga 12 Disember.

“Bagaimanapun, ketika mangsa bersama peserta pakej itu berada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dia mendapati nombor tempahan penerbangan yang diterima daripada suspek tidak wujud.

“Hasil semakan dibuat mangsa juga mendapati tempahan hotel juga tidak dilakukan suspek.

Mangsa kemudiannya mengambil risiko dengan mengeluarkan wang sendiri bagi menampung segala urusan semua peserta di Jepun dalam tempoh lima hari berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, suspek memberi pelbagai alasan dan tidak mahu bertanggungjawab terhadap kejadian berkenaan, selain menyekat nombor telefon serta akaun Facebook mangsa.

“Mangsa yang berasa ditipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut di sini. Siasatan dijalankan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Berita Harian X