Khamis, 27 Jun 2019 | 4:16pm
PIHAK polis mengadakan perbincangan dengan penduduk yang menghalang laluan masuk ke tapak pembinaan pencawang elektrik di Kampung Lereng Bukit Miri. - Foto Erika George
PIHAK polis mengadakan perbincangan dengan penduduk yang menghalang laluan masuk ke tapak pembinaan pencawang elektrik di Kampung Lereng Bukit Miri. - Foto Erika George

Operasi alihkan kabin kontena, khemah haram bertukar kecoh

MIRI: Operasi mengalihkan kabin kontena dan khemah haram di Kampung Lereng Bukit, di sini pagi tadi bertukar kecoh selepas sebuah keluarga mendakwa kawasan terbabit dimiliki mereka serta berstatus Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Operasi kira-kira jam 7.30 pagi itu yang dilaksanakan 46 anggota polis, Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) pada mulanya berlangsung aman, namun bertukar kelam kabut dengan kedatangan anggota keluarga berkenaan.

Kehadiran enam individu dipercayai anggota keluarga berkenaan menimbulkan kesulitan kepada pihak berkuasa selepas mereka menggunakan sebuah kenderaan untuk menghadang laluan kepada pekerja SEB masuk ke tapak pembinaan pencawang elektrik itu.

Bagaimanapun, operasi diketuai Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah itu berjaya mengawal kekacauan sebelum menjadi lebih teruk.

Enam individu terbabit kemudian dinasihatkan mengalihkan kenderaan, tetapi mereka tetap berkeras dan enggan mematuhi arahan polis.

Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Miri untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam melaksanakan tugas.

Difahamkan, penduduk kampung berkenaan menuntut hak ke atas tanah terbabit, termasuk bayaran pampasan daripada SEB, namun selepas kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi Miri, keputusan memihak kepada firma utiliti itu.

Keputusan mahkamah berkenaan turut memerintahkan halangan haram itu dibuka bagi memberi laluan kepada pembinaan pencawang elektrik ke kawasan persekitaran.

Berita Harian X