Rabu, 26 Jun 2019 | 9:52am
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Adnan Abd Rahman, (tiga dari kiri) bersama Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi , (tiga dari kanan) menunjukkan barang kawalan iaitu 6,985 kg minyak masak dan 240 kg tepung gandum yang dirampas dalam Operasi Bersepadu pada sidang media di Markas Taktikal PGA Briged Tenggara. - Foto Syaherah Mustafa
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Adnan Abd Rahman, (tiga dari kiri) bersama Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi , (tiga dari kanan) menunjukkan barang kawalan iaitu 6,985 kg minyak masak dan 240 kg tepung gandum yang dirampas dalam Operasi Bersepadu pada sidang media di Markas Taktikal PGA Briged Tenggara. - Foto Syaherah Mustafa

KPDNHEP dan PGA7 rampas barang kawalan bernilai RM59,336

RANTAU PANJANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggagalkan cubaan menyeludup tepung gandum dan minyak masak ke negara jiran di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS), di sini, semalam.

Dalam Operasi Bersepadu jam 12 tengah hari itu bersama Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), pihak berkuasa menemui 5,780 kilogram (kg) minyak masak dan 240 kg tepung gandum disembunyikan di dalam kenderaan pacuan roda yang menggunakan nombor pendaftaran Thailand.

Pihak berkuasa kemudian menahan dua suspek lelaki dan wanita warga Thailand yang berada di dalam kenderaan itu untuk siasatan lanjut.

Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman, berkata susulan penahanan itu anggota bertugas menyerbu sebuah premis di pekan Rantau Panjang yang disyaki menyimpan barangan kawalan melebihi had kuantiti yang dibenarkan selain menjualnya kepada warga asing.

"Hasil serbuan ke premis itu pula, kita menemui seberat 5,780 kg minyak masak dan tepung gandum seberat 240 kg. Keseluruhan nilai barang (termasuk di dalam pacuan empat roda) yang dirampas bernilai RM59,336,

“Siasatan awal mendapati premis itu yang dijadikan stor menyimpan barang digunakan untuk menyembunyikan barang kawalan itu sebelum diseludup ke negara jiran.

“Kita percaya semua barangan kawalan itu akan dijual semula di negara jiran dengan harga yang lebih mahal,” katanya dalam sidang media di Markas Taktikal PGA Briged Tenggara di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi yang turut mengetuai operasi berkenaan bermula sejak jam 10 pagi hingga 5 petang, semalam.

Adnan berkata, suspek didapati melakukan beberapa kesalahan iaitu menyimpan barang kawalan melebihi had, menjual barang kawalan kepada individu tidak berlesen dan gagal menyelenggara buku stok dengan lengkap.

“Ini adalah satu kesalahan di bawah Peraturan 9(1), Peraturan 9(2) dan Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Bagi kesalahan ini individu yang terbabit boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara tidak lebih tiga tahun dan bagi syarikat boleh didenda sehingga RM2juta,” katanya.

Berita Harian X