Isnin, 24 Jun 2019 | 1:34pm

4 kondominium jadi markas sindiket judi dalam talian digempur

GEORGETOWN: Polis menumpaskan sindiket judi dalam talian didalangi warga Indonesia dalam serbuan berasingan di empat kondominium di Bayan Lepas dan kawasan sekitarnya, di sini pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Difahamkan, serbuan itu susulan maklumat risikan, selain aduan awam mengenai aktiviti mencurigakan sekumpulan warga asing yang menyewa kondominium di kawasan berkenaan untuk dijadikan pusat operasi dan pusat khidmat panggilan judi dalam talian.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran, berkata dalam serbuan itu, seramai 16 warga Indonesia berusia lingkungan 19 hingga 47 tahun ditahan untuk membantu siasatan, termasuk mengenalpasti saiz sindiket berkenaan dan rangkaian operasinya.

Beliau berkata, kesemua ditahan adalah operator pusat khidmat panggilan itu, termasuk dalang sindiket terbabit yang bekerja 12 jam sehari mengikut syif.

“Mereka berperanan mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian dengan menghantar mesej ke khidmat pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp dan Wechat secara rawak kepada pelanggan di Indonesia.

“Mereka juga berperanan menguruskan setiap transaksi keluar dan masuk wang secara dalam talian menggunakan bank dari negara itu bagi tujuan perjudian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket itu sudah beroperasi dalam tempoh tiga bulan hingga setahun lalu, selain memperoleh keuntungan RM60,000 sehari bagi setiap premis yang beroperasi.

“Mereka akan menyewa beberapa kondominium dan membuka pusat operasi di sini, dengan pelanggan mereka terdiri daripada warganegara mereka sendiri.

“Aktiviti perjudian pertaruhan yang dianjurkan oleh sindiket ini adalah seperti poker, judi bola sepak antarabangsa dan loteri 4D (dalam dan luar Indonesia),” katanya.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 26 unit komputer, 29 (telefon bimbit) dan sebuah komputer riba. Kes disiasat dibawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1960,” katanya.

KETUA Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran menunjukkan hasil rampasan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini. - Foto Ramdzan Masiam
KETUA Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran menunjukkan hasil rampasan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini. - Foto Ramdzan Masiam
Berita Harian X