Ahad, 23 Jun 2019 | 11:56pm
Kejadian buli di sebuah sekolah menengah di Setiu yang tular di laman sosial Facebook sejak pagi tadi. - Ihsan Facebook
Kejadian buli di sebuah sekolah menengah di Setiu yang tular di laman sosial Facebook sejak pagi tadi. - Ihsan Facebook

Polis tidak terima laporan kes buli

KUALA TERENGGANU: Kejadian buli yang tular di laman sosial Facebook sejak pagi tadi, dipercayai berpunca ejekan antara dua pelajar di sebuah sekolah menengah di daerah Setiu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail, berkata siasatan awal mendapati kejadian buli itu membabitkan pelajar tingkatan dua dan empat yang berlaku di dalam sebuah kelas semalam.

“Kita sedia maklum mengenai kejadian buli itu selepas ia tular di Facebook sejak pagi tadi, namun setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak.

“Difahamkan, pihak sekolah sedang berurusan dengan ibu bapa kepada dua pelajar terbabit untuk menyelesaikan kes berkenaan tanpa membabitkan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

Terdahulu, satu video berdurasi 14 saat memaparkan seorang pelajar menendang dan menumbuk seorang pelajar di dalam kelas sambil diperhatikan beberapa pelajar lain tular di Facebook sejak pagi tadi.

Aidi berkata, pihaknya memandang serius kejadian buli yang berlaku dalam kalangan pelajar di sekolah yang biasanya berpunca daripada isu kecil seperti ejekan yang akhirnya membawa kepada kes buli.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin, berkata pihaknya sudah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pengetua sebuah sekolah di Setiu menghantar laporan penuh berhubung kes itu.

Beliau berkata, berkata pihaknya mahu laporan penuh itu diserahkan segera berikutan banyak teori mengenai kes buli berkenaan yang berlaku ketika waktu rehat pada sesi sekolah ganti sempena cuti Aidilfitri semalam.

"Ibu bapa tidak buat laporan polis lagi. Kita minta PPD dan pengetua hantar laporan awal pada kita dan kita akan minta kerjasama polis untuk selesaikan kes ini.

"Jika polis ingin teruskan siasatan, pihak Jabatan Pendidikan tiada halangan kerana kes ini bergantung kepada ibu bapa sama ada mahu membuat laporan polis atau tidak," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, daripada siasatan awal, pelajar tingkatan empat itu memasuki kelas pelajar tingkatan dua berkenaan sebelum memukulnya sambil disaksikan beberapa pelajar lain, namun motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Berita Harian X