Ahad, 23 Jun 2019 | 12:51pm

Pencemaran udara: Sesi persekolahan SMK Taman Nusa Damai pula ditangguhkan

PASIR GUDANG: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai, di sini mendapat arahan untuk sesi persekolahannya ditangguhkan pada jam 11 pagi tadi.

Tinjauan BH di lokasi mendapati beberapa ambulans dilihat keluar dari SMK Taman Nusa Damai dipercayai membawa pelajar terkesan akibat pencemaran udara.

Suri Rumah, Arbainah Mohamed, 47, berkata beliau yang menghantar dua anaknya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Damai menerima pesanan ringkas menerusi Aplikasi WhatsApp daripada pihak sekolah memaklumkan sesi persekolahan ditangguhkan.

“Pada jam 11 pagi, saya terima khidmat pesanan ringkas daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang yang mengarahkan sesi persekolahan ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak, selain ibu bapa diminta mengambil anak masing-masing.

KEADAAN pelajar yang terkesan akibat pencemaran udara di SMK Taman Nusa Damai. - Foto Mohd Azren Jamaludin
KEADAAN pelajar yang terkesan akibat pencemaran udara di SMK Taman Nusa Damai. - Foto Mohd Azren Jamaludin

“Hati saya ini sudah tidak sedap sejak dari pengumuman tiga sekolah dan dua tadika diarah tutup, takut sangat pencemaran merebak ke tempat sekitar.

“Tambahan pula, jarak dari Sekolah Agama Taman Mawar ke sini hanya kira-kira lapan kilometer, sangat dekat. Ibu bapa mana tidak risau terjadi apa-apa dekat anaknya terutama soal kesihatan.

“SMK Taman Nusa Damai ini sangat berhampiran dengan SK Taman Nusa Damai, Pasir Gudang, saya bergegas datang ke sekolah berjalan kaki untuk mengambil anak saya, Daniel Ariff Fikri Zaquan, 15.

“Mujur saya melihat anak saya dalam keadaan baik, saya bergegas membawanya beredar dari kawasan ini,” katanya yang menetap di Jalan Sejahtera 19, Taman Nusa Damai, dekat sini.

KEADAAN pelajar yang terkesan akibat pencemaran udara di SMK Taman Nusa Damai. - Foto Mohd Azren Jamaludin
KEADAAN pelajar yang terkesan akibat pencemaran udara di SMK Taman Nusa Damai. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Sementara itu, pelajar SMK Taman Nusa Damai, Akmal Hazim Nazri, 16, berkata ketika itu dia menjalani sesi persekolahan seperti biasa, selain hari ini adalah Hari Bertemu Pelanggan, yang mana ibu bapa akan hadir ke sekolah bagi mengambil keputusan peperiksaan anak-anak.

“Kira-kira jam 10 pagi tadi, pelajar tingkatan satu rehat dulu di kantin sekolah, secara tiba-tiba ada pelajar tingkatan satu pengsan.

“Semua pelajar lain menjengah bagi melihat apa yang berlaku, namun cikgu kata tiada apa yang berlaku.

“Kemudiannya, tidak lama selepas ini, guru sekolah membuat pengumuman semua pelajar tingkatan satu, empat dan lima supaya keluar dari kelas dan berhimpun di dataran depan sekolah.

“Selepas turun dari tangga, ramai terbaring dan ada juga yang pengsan, tapi saya tidak nampak ada yang muntah, selain tiada pula bau yang meloyakan.

“Saya terus pulang ke rumah berjalan kaki, namun pihak sekolah tidak memaklumkan sekolah ditutup atau tidak,” katanya.

KEADAAN pelajar yang terkesan akibat pencemaran udara di SMK Taman Nusa Damai. - Foto Mohd Azren Jamaludin
KEADAAN pelajar yang terkesan akibat pencemaran udara di SMK Taman Nusa Damai. - Foto Mohd Azren Jamaludin

AMBULANS dilihat keluar dari SMK Taman Nusa Damai dipercayai membawa pelajar terkesan akibat pencemaran udara. - Foto Mohd Azren Jamaludin
AMBULANS dilihat keluar dari SMK Taman Nusa Damai dipercayai membawa pelajar terkesan akibat pencemaran udara. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X