Rabu, 19 Jun 2019 | 10:21pm
KEADAAN kebakaran membabitkan kedai dua tingkat di Jalan Temiang pada petang tadi. NSTP/Ihsan BOMBA
KEADAAN kebakaran membabitkan kedai dua tingkat di Jalan Temiang pada petang tadi. NSTP/Ihsan BOMBA

Lelaki warga China melecur dalam kebakaran

SEREMBAN: Tindakan pantas pihak bomba menyelamatkan nyawa seorang lelaki warga China daripada rentung dalam kebakaran kedai dua tingkat di Jalan Temiang, di sini, jam 7 malam tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 35 tahun dan menyewa bilik di tingkat dua bangunan itu dilaporkan melecur 60 peratus pada bahagian belakang badannya.

Dia diselamatkan selepas pihak bomba menemuinya di tingkat bawah ketika cuba keluar dari bangunan berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata seramai 16 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban dan Seremban 2 dikejarkan ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.08 petang.

“Sebaik tiba pada jam 7.14 petang, kami mendapati kebakaran membabitkan bangunan kedai dua tingkat. Tingkat atas musnah sepenuhnya manakala tingkat bawah musnah 30 peratus.

“Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan mangsa yang ditemui di tingkat bawah sebelum dia diserahkan ke pihak ambulans untuk dibawa ke hospital bagi menerima rawatan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal dan dipadam tidak lama kemudian.

Katanya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih disiasat.

Berita Harian X