Rabu, 19 Jun 2019 | 2:05pm
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan lalu dirempuh sebuah lori di Jalan Demak, Kuching. - Foto Melvin Joni
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan lalu dirempuh sebuah lori di Jalan Demak, Kuching. - Foto Melvin Joni

Remaja maut diseret lori

KUCHING: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang bersama adik perempuannya hilang kawalan lalu dirempuh sebuah lori, di Jalan Demak, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu berlaku ketika dua beradik itu dalam perjalanan pulang ke rumah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata mangsa dikenali sebagai Danish Bakhtiar Mian Baharuddin, 17.

“Mangsa dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas sebelum dia tercampak dan dirempuh kemudian diseret beberapa meter oleh sebuah lori yang datang dari arah yang sama,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat kecederaan parah di dada.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk bedah siasat.

Bagaimanapun, adik perempuan mangsa dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.

Alexson berkata, siasatan lanjut berhubung kemalangan masih dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X