Rabu, 12 Jun 2019 | 9:19pm
Seorang bayi perempuan dipercayai berusia tiga hari ditemui di dalam beg yang ditinggalkan di tepi laluan pejalan kaki berhampiran Flet Sri Anugerah, Larkin, hari ini. - Foto BERNAMA

Bayi menangis dalam beg di tepi jalan

JOHOR BAHRU: Seorang bayi perempuan dipercayai berusia tiga hari ditemui di dalam beg yang ditinggalkan di tepi laluan pejalan kaki berhampiran Flet Sri Anugerah, Larkin, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata bayi itu ditemui seorang wanita berusia 53 tahun yang sedang berjalan menuju ke rumahnya pada jam 10.30 pagi.

“Ketika melalui laluan berkenaan, wanita itu terdengar suara tangisan bayi sebelum berpatah balik dan mencari puncanya. Dia kemudian ternampak sebuah beg berwarna putih dengan corak merah jambu di tepi jalan.

“Dia mendapatkan bantuan seorang lelaki yang juga penyelia di bengkel berhampiran kawasan itu. Lelaki itu membuka beg berkenaan sebelum mereka melihat bayi yang masih bertali pusat sedang menangis.

“Mereka membawa bayi itu ke bengkel sebelum membersihkan tubuhnya dan memberi susu sebelum menghubungi polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bayi itu dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk pemeriksaan dan rawatan susulan.

Shahurinain meminta orang awam yang mempunyai maklumat supaya menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2218999 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Masitah Ali Murtada di talian 013- 3721458 atau tampil ke balai polis berhampiran.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.

Berita Harian X