Rabu, 12 Jun 2019 | 1:23pm

Bahana dadah!

KUALA PILAH: Gara-gara di bawah pengaruh dadah, seorang lelaki hilang pertimbangan dan mengamuk di hadapan sebuah kedai dobi layan diri di Pusat Komersial Jalan Melang, awal pagi ini.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek berusia 43 tahun itu didapati mengamuk dan merosakkan beberapa perkakas di luar premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, suspek terbabit datang ke premis berkenaan kira-kira jam 6.30 pagi ini dalam keadaan marah.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba lelaki terbabit bertindak agresif dan mengamuk dengan mengeluarkan perkataan maki hamun sambil memukul dinding premis berkenaan.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu segera menghubungi pihak polis dan tidak lama kemudian suspek ditahan,” katanya.

Lelaki yang ditahan pihak polis selepas mengamuk di hadapan kedai dobi layan diri di Pusat Komersial Jalan Melang. - NSTP/Amran Yahya
Lelaki yang ditahan pihak polis selepas mengamuk di hadapan kedai dobi layan diri di Pusat Komersial Jalan Melang. - NSTP/Amran Yahya

Haslah berkata, semakan mendapati suspek berkenaan memiliki beberapa rekod lampau atas kesalahan narkotik.

“Siasatan masih lagi dijalankan memandangkan suspek masih di bawah pengaruh dadah dan hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Suspek direman selama 14 hari bermula hari ini,” katanya.

Rakaman CCTV yang menunjukkan seorang lelaki mengamuk di hadapan sebuah kedai dobi layan diri di Pusat Komersial Jalan Melang, awal pagi ini.
Rakaman CCTV yang menunjukkan seorang lelaki mengamuk di hadapan sebuah kedai dobi layan diri di Pusat Komersial Jalan Melang, awal pagi ini.
Berita Harian X