Jumaat, 7 Jun 2019 | 11:23pm

Hilang tempat bergantung selepas kehilangan suami

KUANTAN: Sikap aneh Hamdan Mat, 47, yang gemar memakai songkok dan teruja menyambut Syawal tahun ini bagaikan petanda pemergiannya.

Allahyarham maut dalam kemalangan motosikal malam semalam membuatkan isterinya yang tidak bekerja, Noraini Hashim, 42, dan dua anak mereka, Hisham Hammani, 9, dan Siti Nur Aisyah, 14, hilang tempat bergantung.

Noraini yang juga baru kematian ibunya, Siah Mad Rajab, 66, enam bulan lalu, berkata petang semalam, arwah suaminya itu memaklumkan mahu keluar menyertai berkonvoi dengan rakannya.


WAJAH sugul isteri mangsa, Noraini Hashim. - NSTP/Fariizul Hafiz Awang

“Saya tak pernah halang dia untuk sertai kelab konvoi bermotosikal sebab memang itu minat dia dari dulu.

“Dia sendiri pernah cakap akan berhenti sertai kelab konvoi itu dan mungkin semalam dia nak berkonvoi buat kali terakhir, namun tak sangka dia pergi buat selama-lamanya,” katanya yang ditemui di rumah mentuanya di Felda Lepar Hilir 1, Gambang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam semalam, motosikal yang ditunggang Hamdan dikatakan bergesel dengan motosikal rakannya, Mohammad Shahrizan Ahmad, 37, di Jalan Besar Jengka 23, Maran, sebelum dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.

Mohammad Shahrizan turut maut dalam kejadian itu.

Noraini berkata, mereka sekeluarga tinggal di Panching Timur, di sini, pulang beraya ke rumah mentuanya di Felda Lepar Hilir 1, malam kelmarin.

“Dia tak pernah keluar rumah tidak membawa telefon bimbit, tetapi, malam tadi dia tinggalkan di rumah. Saya ternampak mesej WhatsApp yang masuk dan saya buka. Memang terkejut dan menggigil bila nampak gambar suami saya tertiarap di atas jalan yang dikongsikan rakan-rakan konvoi di dalam kumpulan (WhatsApp).

“Kira-kira jam 10 malam barulah saya dapat berita yang suami saya sudah meninggal dunia dalam kemalangan. Sekarang saya memang tak tahu nak buat apa, seolah-olah hilang upaya kerana saya tidak bekerja dan bergantung kepada suami sepenuhnya. Memang selepas ini saya kena cari kerja bagi membesarkan anak-anak,” katanya.

Beliau berkata, peluang beraya bersama suami yang turut membawa mereka sekeluarga keluar beraya adalah kenangan terakhir buat mereka.

Sementara itu, abang arwah, Amran Mat, 53, berkata adiknya yang juga anak keempat daripada 10 beradik itu memang sering pulang ke rumah ibu bapa mereka kerana bekerja sendiri di felda terbabit.

“Dia ada cakap nak keluar beraya di Jengka dengan 10 lagi kawan yang tinggal di kawasan ini (Felda Lepar Hilir 1). Dia dengan mereka sudah berkawan lama dan sering sertai konvoi sebegini.

“Kira-kira 6.30 petang semalam dia keluar dengan rakan-rakan dan saya dapat tahu dia kemalangan kira-kira jam 8 malam. Saya terus memandu ke Jengka dan saya ingat kemalangan biasa saja, namun, setelah separuh jalan ke sana, saya dapat berita dia sudah tiada,” katanya.

Amran berkata, sikap adiknya yang gemar memakai songkok pada Syawal kali ini antara perubahan yang ditunjukkan arwah kerana sebelum ini arwah dikatakan tidak pernah memakai songkok.

Katanya, jenazah adiknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 1 selepas solat Jumaat, manakala jenazah rakannya dikebumikan di tempat yang sama sebelum solat Jumaat.

NORAINI Hashim bersama anaknya menunjukkan foto arwah suaminya yang maut selepas terlibat kemalangan ketika ditemui di Felda Lepar Hilir 1. - NSTP/Fariizul Hafiz Awang
Berita Harian X