Khamis, 6 Jun 2019 | 6:44pm
SEBUAH kereta Perodua Kancil terbakar dipercayai disebabkan mercun dalam kejadian di Lembah Sireh. - Foto ihsan pembaca
SEBUAH kereta Perodua Kancil terbakar dipercayai disebabkan mercun dalam kejadian di Lembah Sireh. - Foto ihsan pembaca

Kereta terbakar dipercayai dibaling mercun

KOTA BHARU: Sebuah kereta Perodua Kancil terbakar dipercayai dibaling mercun dalam kejadian di Lembah Sireh, di sini, Selasa lalu.

Kejadian jam 11 malam itu, pemilik kenderaan, seorang lelaki berusia 20-an bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mercun itu dipercayai dibaling oleh individu yang menunggang motosikal ketika mangsa melalui jalan berkenaan dari Pasaraya KB Mall menuju ke Pasaraya Tesco.

Difahamkan, mercun berkenaan dibaling dan masuk ke dalam kereta berikutan cermin dalam keadaan terbuka, sebelum pemilik kenderaan berhenti dan keluar dari kenderaan itu.

Insiden berkenaan tular di laman sosial Facebook sejak semalam yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan juga orang ramai.

SEBUAH kereta Perodua Kancil terbakar dipercayai disebabkan mercun dalam kejadian di Lembah Sireh. - Foto ihsan pembaca
SEBUAH kereta Perodua Kancil terbakar dipercayai disebabkan mercun dalam kejadian di Lembah Sireh. - Foto ihsan pembaca

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran.

“Polis menyiasat kes ini dengan bantuan pihak forensik serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) untuk mengesahkan sama ada punca kebakaran itu daripada perbuatan balingan mercun atau punca lain.

“Kes kebakaran kereta itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memberikan amaran keras kepada masyarakat supaya tidak bermain atau membakar mercun kerana ia satu kesalahan serta berbahaya.

Katanya, polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti bermain mercun.

“Satu pasukan khusus ditubuhkan bagi memantau dan mengambil tindakan terhadap individu yang terbabit dengan kesalahan mercun,” katanya.

Berita Harian X