Rabu, 5 Jun 2019 | 9:08pm
PEJABAT Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB) melakar kejayaan besar apabila merampas 1.49 tan ice (crystal methamphetamine) dan 91 kilogram (kg) ketamin di Pathum Thani, utara Bangkok, semalam. - Foto BERNAMA
PEJABAT Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB) melakar kejayaan besar apabila merampas 1.49 tan ice (crystal methamphetamine) dan 91 kilogram (kg) ketamin di Pathum Thani, utara Bangkok, semalam. - Foto BERNAMA

1.49 tan dadah dirampas di Bangkok

BANGKOK: Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB) melakar kejayaan besar apabila merampas 1.49 tan ice (crystal methamphetamine) dan 91 kilogram (kg) ketamin di Pathum Thani, utara Bangkok, semalam.

Setiausaha Agung ONCB Niyom Termsrisuk berkata polis menahan seorang warga tempatan berusia 26 tahun dan menemui 100 kg ice yang dibungkus dan dilabelkan sebagai daun teh kering serta 91 kg ketamin di dalam kereta suspek berhampiran gudang di Pathum Thani pada jam 2 pagi (waktu tempatan).

Pemeriksaan di gudang pula menemui sebuah lori diubah suai yang mempunyai ruang rahsia untuk menyimpan dadah.

“Polis menemukan 1.39 tan ice yang dibungkus dan dilabel sebagai daun teh di dalam petak tersembunyi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Niyom berkata sindiket dadah itu dipercayai menyewa gudang berkenaan untuk menyimpan dadah terbabit sebelum menyeludup bahan terlarang berkenaan ke destinasi yang ditetapkan.

“Susulan maklumat awam, pihak berkuasa melakukan pemantauan ke atas sindiket itu untuk beberapa ketika sebelum melakukan tangkapan dan rampasan semalam.

“Siasatan awal mendedahkan dadah itu akan transit di negara jiran sebelum diseludup ke pasaran antarabangsa,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X