Jumaat, 31 Mei 2019 | 12:30am
TIGA kenderaan iaitu lori muatan kayu, Perodua Axia dan Chevrolet yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan seorang lelaki warga Thailand maut di Jalan Batu Karang, Rantau Panjang. - NSTP/Ihsan JBPM Kelantan

Suami isteri maut nahas tiga kenderaan

RANTAU PANJANG: Suami isteri warga Thailand maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Rantau Panjang-Tanah Merah, Batu Karang, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.43 petang itu, pemandu kereta Chevrolet, Itsma Aen Baka, 53, maut di tempat kejadian manakala penumpang hadapan, Wardah Pohtae, 49, meninggal dunia di Hospital Pasir Mas.

Penumpang belakang kereta berusia 18 tahun yang juga anak pasangan itu patah tulang pinggul dan kaki.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah, berkata ketika kejadian mangsa bersama dua penumpang YANG menaiki kereta Chevrolet dari Rantau Panjang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai cuba memotong lori di hadapannya namun gagal sebelum bertembung dengan treler.

“Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa berpusing ke arah Rantau Panjang dan melanggar kereta Perodua Axia.

“Pemandu Chevrolet yang juga warga Thailand maut di tempat kejadian manakala isterinya meninggal dunia di hospital,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang, Zaimi Samat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.43 petang dan tiba di lokasi kejadian 12 minit kemudian.

“Setibanya di lokasi kemalangan, pemandu Chevrolet yang juga warga Thailand sudah meninggal dunia kerana tersepit di bahagian pemandu

“Kami mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat jam 4.19 petang,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Berita Harian X