Selasa, 28 Mei 2019 | 2:13pm
- Foto Hiasan

Mangsa buli siber mahu bersihkan nama

SHAH ALAM: Seramai 50 individu yang dipercayai terdiri daripada pegawai perubatan dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikatakan terbabit dalam aktiviti buli siber menerusi sebuah akaun dalam laman sosial Facebook.

Peguambela dan Peguamcara, Asiah Abd Jalil berkata, perbuatan berkenaan dilakukan terhadap anak guamnya, Dr Hafiz Sulaiman.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan menghantar notis tuntutan kepada individu yang memberi komen negatif dan berbaur fitnah terhadap anak guamnya itu.

“Kita akan meneliti semula setiap komen dan jika ia benar-benar berunsur fitnah kita akan hantar notis tuntutan berkenaan selepas Aidilfitri.

“Kita boleh mendakwa mereka atas perbuatan fitnah dan mangsa boleh mendapat tuntutan ganti rugi. Bagaimanapun, anak guam saya tidak mahu ganti rugi sebaliknya ingin membersihkan nama dengan permohonan maaf secara terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pembulian siber dalam kalangan penjawat awam di Hotel De Art, Seksyen 7, di sini hari ini.

Beliau berkata, pengendali halaman berkenaan mendakwa mereka mewakili KKM, namun bahasa dan cara mereka tidak menggambarkan mereka adalah dari golongan profesional.

Katanya, pihaknya juga sudah menemui beberapa individu yang disyaki terbabit dalam aktiviti buli siber itu dan mereka memaklumkan mereka tidak takut kerana dilindungi oleh ‘Dr Hisham’.

“Bagaimanapun, kami tidak pasti siapa doktor yang dimaksudkan oleh individu berkenaan, namun begitu kami meminta doktor berkenaan tampil memberikan penjelasan jika beliau tidak terbabit dalam hal ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Hafiz berkata, beliau menjadi mangsa buli siber pada tahun 2016 apabila beliau dituduh menyebabkan kematian seorang bayi.

“Saya dituduh memberikan nasihat kepada ibu bayi berkenaan sehingga menyebabkan kematian. Komuniti itu menimbulkan persepsi negatif terhadap saya menerusi halaman Facebook, malah mereka mengugut untuk melaporkan kepada pihak polis, KKM dan lain-lain tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap saya.

“Selepas ibu bayi itu menafikan ada kaitan dengan pengendali halaman Facebook itu, mereka bertindak menyerang ibu bayi itu kerana mengikut telunjuk saya,” katanya.

Beliau berkata, laporan polis akan dilakukan oleh beliau dan mangsa lain selepas hari raya.

Jelasnya, pihaknya juga menuntut penjelasan daripada KKM kerana hampir semua sekutu bagi pengendali halaman Facebook berkenaan adalah halaman yang dikendali oleh pengamal kesihatan.

“Mereka memperkenalkan budaya dakwa dan tuduh tanpa bicara di laman sosial. Jika sesiapa yang tidak selari dengan mereka akan dikutuk dimalukan dan difitnah secara terlampau,” katanya.

Berita Harian X