Selasa, 28 Mei 2019 | 11:29am
- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

Ditipu jual beli iPhone murah

KUANTAN: Seorang remaja perempuan ‘berputih mata’ untuk membeli telefon pintar jenis iPhone 8 Plus yang diiklan dengan harga murah di Instagram, apabila ditipu RM2,950.

Kejadian pada Sabtu lalu apabila mangsa berusia 19 tahun berminat membeli iPhone 8 Plus selepas melihat iklan diletakkan dalam laman sosial itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa kemudian berurusan dengan seorang lelaki dan hasil perbincangan, suspek bersetuju menjual telefon itu dijual pada harga RM1,200.

“Mangsa kemudian membuat pindahan wang sebanyak RM1,200 ke akaun diberikan suspek, Ahad lalu.

“Namun suspek meminta mangsa membuat penambahan wang sebanyak RM1,750 atas alasan ‘postage error’ dan akan memulangkan baki wang bersama telefon berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat pemindahan wang berjumlah RM1,750 daripada akaun pengadu ke akaun yang sama pada hari berkenaan.

“Selepas membuat pemindahan wang, mangsa gagal berhubung dengan suspek dan mangsa yang berasa ditipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam.

“Sehingga kini, mangsa masih belum menerima telefon bimbitnya, malah nombor diberikan suspek juga sudah dinyah aktifkan,” katanya.

Katanya, modus operandi suspek adalah dengan menawarkan penjualan telefon pintar iPhone 8 Plus yang tidak wujud di laman Instagram dengan harga murah.

“Polis sudah mengambil keterangan mangsa dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Berita Harian X