Ahad, 26 Mei 2019 | 6:47pm

Kanak-kanak 2 tahun maut didera

YAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia dipercayai akibat didera bapa tirinya di Batu 19 3/4 Jalan Yan, Guar Chempedak, di sini, semalam.

Mangsa, Muhammad Aqil Hairi Mohd Azrul maut selepas mengalami kecederaan dalaman dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata dalam kejadian jam 7.30 petang itu, mangsa tidak sedarkan diri di rumahnya sebelum dibawa ke hospital oleh bapa tirinya berusia 28 tahun.

“Sebaik tiba di hospital, doktor memaklumkan kanak-kanak terbabit sudah meninggal dunia.

“Berdasarkan laporan bedah siasat, mangsa didapati maut akibat kecederaan pada bahagian badan kerana objek tumpul,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahnaz berkata, berdasarkan maklumat doktor kecederaan yang dialami kanak-kanak itu kerana perbuatan yang disengajakan.

Katanya, mangsa juga berkemungkinan dicubit, ditumbuk pada bahagian perut dan belakang badan berdasarkan kesan lebam pada badan.

“Selain itu, kesan kecederaan abdomen dalaman seperti koyakan hati, pendarahan pada organ mesenteri, kesan lebam pada usus dan pendarahan pada organ pankreas juga kelihatan.

“Kesemua kecederaan dalaman adalah kecederaan baru dan tidak sampai beberapa jam sebelum si mati meninggal dunia.

“Kecederaan yang dialami si mati tidak kosisten dengan faktor jatuh dari tempat tinggi dan ianya lebih dengan dipukul oleh objek tumpul di bahagian abdomen,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu bapa tiri mangsa ditahan bagi membantu siasatan.

“Selain itu, ibu kandung mangsa berusia 22 tahun yang juga peniaga ikan turut ditahan untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Berita Harian X