Rabu, 22 Mei 2019 | 12:26pm

Suspek kes bunuh perunding acara ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan peruding acara di Residensi Bestaria, Dataran Ukay di Ampang pada 12 Mei lalu ditahan polis semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata suspek berusia 25 tahun itu ditahan di Pangsapuri Sri Raya berhampiran Ukay Perdana pada jam 1.30 petang.

Katanya, tangkapan itu dibuat sepasukan anggota dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, bertindak atas maklumat awam.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini dan perintah reman dibenarkan selama tujuh hari sehingga 28 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 12 Mei lalu, lelaki berusia 33 tahun itu ditemui mati dengan kesan tikaman pada bahagian dada dan perut di sebuah kondominium di Jalan Ukay Bistari, Ukay Perdana, Ampang.

Mangsa ditemui dalam keadaan terlentang serta berlumuran darah oleh rakannya kira-kira jam 1 pagi yang kemudiannya melaporkan perkara itu kepada polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Zaid Hassan sebelum ini berkata, berdasarkan siasatan awal polis, hutang dipercayai menjadi motif kepada pembunuhan itu, namun siasatan mengenainya masih dijalankan.

Berita Harian X