Isnin, 20 Mei 2019 | 9:32am
ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan empat suspek serta merampas minyak petrol yang menerusi dua operasi berasingan, disekitar Semporna. - Foto ihsan PPM
ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan empat suspek serta merampas minyak petrol yang menerusi dua operasi berasingan, disekitar Semporna. - Foto ihsan PPM

Polis Marin rampas 2,600 liter petrol seludup

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 2,600 liter petrol selepas berjaya menggagalkan dua kegiatan penyeludupan bahan api itu dalam operasi khas di sekitar daerah ini, semalam.

Operasi bermula jam 6.45 petang hingga 10.45 malam itu dijalankan hasil maklumat dan risikan oleh Unit Risikan Marin (URM) sebelum pemeriksaan dijalankan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Labuan Haji di Pulau Bum-Bum.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata hasil serbuan di rumah terbabit sebanyak 500 liter petrol ditemui yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran, Filipina.

Sementara itu, katanya bot ronda PAR 3 dan RH40 masing-masing berjaya mengesan dua bot pam, masing- masing dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan Gusung Melanta kira-kira jam 10.45 malam.

“Pemeriksaan yang dijalankan ke atas bot pertama mendapati sebanyak 40 jeriken (tong minyak) yang masing-masing setiap satu mengandungi 30 liter petrol manakala 30 jerikin lagi ditemui disimpan di dalam ruangan bot pam kedua.

“Siasatan lanjut juga mendapati semua suspek berumur antara 19 hingga 29 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah selain mengaku mahu membawa barang kawalan itu ke Sitangkai, Filipina,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, kedua-dua suspek juga gagal mengemukakan sebarang permit atau dokumen untuk membawa barang kawalan berkenaan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Katanya, semua barang rampasan termasuk dua bot bersama dua unit enjin yang dianggarkan bernilai RM15,345 dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 20, Akta Kawalan Bekalan 1961yang dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan, akta yang sama,” katanya.

Berita Harian X