Jumaat, 17 Mei 2019 | 5:19pm

2 lelaki ditahan bersama lebih 1,000 pil yaba

KOTA BHARU: Dua pembantu kedai makan ditahan bersama lebih 1,000 pil yaba dalam serbuan di Taman Kampung Teluk Panji, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 3 petang itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu berdasarkan hasil risikan dan maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata pada mulanya, suspek berusia 25 tahun ditahan di tepi jalan sebelum menemui satu tiub straw warna biru mengandungi empat biji pil kemerahan disyaki dadah jenis yaba di dalam poket hadapan sebelah kanan seluarnya.

Katanya, hasil siasatan terhadap lelaki itu membawa pihak polis ke sebuah rumah dan suspek terbabit menunjukkan satu beg galas berwarna hitam yang terletak di atas lantai bahagian ruang tamu, mengandungi lima paket plastik warna biru yang berisi sebanyak 200 pil yaba setiap satu.

“Pihak polis merampas kesemua barangan yang ditemui termasuk satu pasport dipercayai milik suspek terbabit.

“Namun, ketika polis masih berada di rumah itu, tiba-tiba datang seorang lelaki dengan menaiki motosikal Yamaha LC, sebelum polis berjaya menahannya.

“Hasil pemeriksaan dalam poket hadapan sebelah kanan seluar yang dipakainya mendapati terdapat lima paket plastik cerah mengandungi 20 biji pil kemerahan setiap satu disyaki dadah dengan keseluruhan 100 biji pil,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati dua lelaki itu memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine.

“Mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (1) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Berita Harian X