Jumaat, 17 Mei 2019 | 2:31pm

Mengaku tidak salah guna tiga sijil cuti sakit palsu

AMPANG: Seorang pekerja syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga tuduhan menggunakan sijil cuti sakit palsu antara Februari hingga Mac lalu.

Tertuduh, Mohamed Amir Khan Mohamed Yusof, 23, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu masing-masing sekeping sijil cuti sakit kerajaan atas namanya yang mana diketahui sijil cuti sakit itu adalah palsu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Syarikat Malaysia Transformer Manufacturing Sdn Bhd MTM Riverside Pernec Building, Jalan Au3/1 di sini pada 4, 15 Februari dan 21 Mac 2019.

Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 468 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak kepada tertuduh.

Peguam Kelvinder Singh Sidhu yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah memberikan ikat jamin kerana tertuduh yang belum berkahwin itu adalah penanggung utama keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X