TUMPAT: Seorang lelaki tempatan dipercayai penyeludup ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) kerana memiliki 240 liter petrol di dalam tangki yang diubah suai di Kampung Simpangan di sini.
Dalam operasi jam 11 pagi semalam itu, lelaki itu ditahan ketika sedang memakir kereta PROTON Saga.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintenden Mohd Rudzuan Ahmad, berkata hasil pemeriksaan pihaknya menemui 240 liter petrol di dalam tangki kenderaan yang sudah diubah suai.
“Kita percaya tangki kereta itu diubah suai bagi untuk kerja memunggah petrol dari stesen minyak sekitar kawasan Pengkalan Kubor di sini dan disimpan di sebuah lokasi sebelum diseludup menggunakan bot galah.
“Difahamkan lelaki terbabit sudah lama menjalankan kerja menyeludup minyak ke negara jiran.
“Pemandu kenderaan ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan barang rampasan dibawa balik ke Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, dalam kes berasingan Mohd Rudzuan berkata, pihaknya turut membuat serbuan di sebuah garaj kenderaan di Kampung Tebing, di sini pada jam 7 pagi semalam.
“Hasil pemeriksaan kita menemui 18 tong dengan setiap satunya mengandungi 30 liter diesel.
“Selepas menunggu lebih 20 minit, tiada pihak yang datang menuntut dan kami merampas diesel berkenaan,” katanya.