X
Rabu, 15 Mei 2019 | 6:13pm
PENGARAH Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
PENGARAH Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Tidak arah pindah wang jika tahu akaun Najib

KUALA LUMPUR: “Saya mengesahkan sekiranya saya tahu AmPrivate Banking -1MYdan AmPrivate Banking - MY dengan nombor akaun berakhir 880 dan 906 itu adalah milik Najib, saya tidak akan membuat pembayaran keseluruhan RM42 juta itu.”

Demikian kata Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman, pada perbicaraan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata IPSB sebelum itu sudah diberitahu bahawa ia akan ‘dipinjam’ untuk menyimpan sejumlah wang yang akan dimasukkan ke dalam akaunnya secara transit sebelum dipindah keluar.

Katanya, ketika membuat arahan bagi pembayaran itu pada 26 Disember 2014 dan 9 Februari 2015, beliau tidak mengetahui bahawa pembayaran akan dimasukkan ke dalam akaun Najib.

“Saya sudah mengarahkan Eksekutif Akaun Kanan Aishah Ghazali untuk membuat semakan siapa pemilik dua akaun berkenaan, tetapi beliau (Aishah) diberitahu pihak bank tidak dapat mendedahkan maklumat itu kepada pihak ketiga.

“Saya turut meminta Pengarah Kewangan IPSB, Datuk Abdul Aziz Ismail menyemak pemilik akaun dengan nombor berakhir 906, tetapi beliau tidak memaklumkan hasil semakan berkenaan.

“Saya turut mengesahkan bahawa Najib tidak pernah menghubungi saya berkenaan semua pembayaran itu,” katanya.

Shamsul Anwar, saksi ke-37 pendakwaan berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi dan menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada sesi pemeriksaan utama hari ke-18 perbicaraan SRC International.

Beliau berkata mengikut Borang Pemindahan Wang, tujuan semua pembayaran adalah untuk program

tanggungjawab sosial korporat (CSR) tetapi tidak pasti tujuan sebenar pembayaran itu.

Saksi itu berkata, beliau menganggap pembayaran bagi tujuan CSR kerana pemindahan dana terbabit adalah di atas arahan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Sun Ling dan Pengarah Projek, Dennis See.

Beliau berkata, biasanya arahan daripada Su Ling dan Dennis adalah berkenaan program CSR.

Katanya, beliau terpaksa mengikut arahan kedua-dua individu terbabit kerana mereka adalah pemberi dana kepada IPSB.

“Seingat saya, Su Ling dan See (Dennis) mengarahkan saya memindahkan dana itu ke dalam akaun AmPrivate Banking -1MY dan AmPrivate Banking - My walaupun saya tidak tahu siapa pemilik dana itu.

“Saya cuma dimaklumkan Su Ling bahawa duit sudah masuk ke akaun IPSB, saya tanya Su Ling banyak kali melalui telefon dan bersemuka tetapi beliau tidak beritahu sumber dana itu.

“Saya turut bertanya See mengenai perkara itu tetapi beliau beritahu bahawa saya tidak perlu tahu maklumat pemilik akaun berkenaan,” katanya.

Dr Shamsul Anwar berkata, beliau hanya mengetahui dana RM42 juta itu adalah daripada SRC melalui anak syarikatnya Gandingan Mentari Sdn Bhd apabila membaca artikel di laman web Wall Street Journal ketika berada di Belgium pada Julai 2015.

Beliau berkata, perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil selepas beliau mendapatkan penjelasan apabila pulang ke Malaysia.

“Pada pandangan saya, Su Ling dan See turut diarahkan untuk mengarahkan saya membuat pindahan wang itu, saya berpendapat mereka mungkin mendapat arahan daripada Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Seri Azlin Alias.

“Sebelum wang RM40 juta dimasukkan ke akaun IPSB pada 24 Disember 2014, See berjumpa saya di pejabat dan maklumkan akaun IPSB akan dipinjam untuk menyimpan sejumlah wang sebelum dipindah keluar.

“Saya meminta butiran lengkap daripada See tetapi beliau tidak memberikan sebarang penjelasan,” katanya.

Berita Harian X