Selasa, 14 Mei 2019 | 4:56pm

Lelaki ditahan ugut bunuh guna bakakuk

KENINGAU: Tindakan seorang lelaki membuat ugutan bunuh suami kepada anak saudaranya menggunakan senapang buatan sendiri jenis bakakuk menerima padah apabila ditahan polis.

Suspek berusia 43 tahun ditahan di rumahnya di Kampung Narayat, Tambunan, jam 11.45 malam, Sabtu lalu, susulan laporan polis yang dibuat mangsa berusia 28 tahun.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain, berkata siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 6.23 petang Sabtu lalu, apabila mangsa yang baru tiba di rumahnya menegur isterinya kerana tidak menyambutnya yang baru tiba dari Kota Kinabalu.

“Suspek kemudian menegur mangsa supaya bertolak ansur dengan isterinya yang sedang mengandung. Secara tiba-tiba suspek bertindak agresif dan menumbuk muka mangsa sehingga terjatuh dan terkena sofa.

“Isteri mangsa yang cuba meleraikan turut ditolak sehingga jatuh oleh suspek,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, di sini, hari ini.

Shahrudin berkata, suspek kemudian masuk ke dalam biliknya lalu membawa keluar selaras senapang bakakuk bersama tiga butir peluru sebelum mengacukan ke arah mangsa dan isterinya sambil mengugut untuk membunuh mangsa.

“Mangsa yang ketakutan kemudian keluar dari rumah bersama isterinya sebelum membuat laporan polis.

“Bertindak atas laporan itu, suspek ditahan dan polis turut merampas senapang bakakuk berserta tiga butir peluru,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Berita Harian X