Selasa, 14 Mei 2019 | 4:04pm
ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan menahan tiga suspek dan lori yang digunakan memunggah 1,800 liter petrol pada Op Landai di Batu 9, Jalan Labuk, Sandakan. - Foto ihsan PPM
ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan menahan tiga suspek dan lori yang digunakan memunggah 1,800 liter petrol pada Op Landai di Batu 9, Jalan Labuk, Sandakan. - Foto ihsan PPM

PPM rampas 1,800 liter petrol dipercayai diseleweng

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 1,800 liter petrol disimpan di dalam 67 bekas jerikin dan tiga tong dram, menerusi Op Landai di Batu 9, Jalan Labuk, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, anggota melakukan pemeriksaan terhadap sebuah lori kargo yang dikesan berkeadaan mencurigakan, hasil maklumat Unit Risikan Marin (URM).

Tiga lelaki membabitkan dua warga tempatan berumur 43 tahun dan 51 tahun serta seorang warga asing berusia 30 tahun disyaki memunggah bahan api terbabit, turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Pajeri Ali, berkata bahan api itu dipercayai diseleweng untuk pasaran tempatan atau cuba diseludup ke negara jiran.

“Sindiket penyeludupan minyak menggunakan pelbagai teknik untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa, sama ada bagi pasaran tempatan atau dibawa ke luar negara, namun kita berjaya membanteras jenayah ini hasil kecekapan URM PPM,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan, termasuk kenderaan dan peralatan digunakan suspek, bernilai RM20,839.

Susulan itu, katanya, tahanan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3 Kawalan Bekalan.

Berita Harian X