X
Sabtu, 11 Mei 2019 | 2:58pm

Nekad terjun tingkap lari dari polis

KUALA LUMPUR: Terdesak mahu melarikan dari ditahan polis, seorang penagih nekad terjun dari tingkap sebuah rumah kedai di Lorong Haji Taib 1, Jalan Chow Kit, di sini semalam yang dijadikan sarang penagihan dadah.

Kejadian menyebabkan pengganggur berusia 42 tahun itu retak pada bahagian pinggang dan kedua-dua kakinya selepas terjatuh dari paras ketinggian 15 meter.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah, berkata mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut kemudian menemui bungkusan plastik dipercayai heroin seberat 3.34gram dan satu lagi bungkusan berbalut dengan pita berwarna biru mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat 3.74 gram disorokkan dalam dubur suspek.

“Sebelum itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menyerbu ke premis berkenaan kira-kira jam 10.15 pagi sebaik menerima maklumat mengenai kegiatan penagihan di situ.

“Kita menahan seorang wanita di sebuah bilik dan seorang lelaki yang berada di luar tingkap dipercayai cuba melarikan diri.

“Ketika pemeriksaan dibuat di bilik terbabit, salah seorang suspek memaklumkan rakannya melarikan diri dengan terjun melalui tingkap,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, semakan lanjut terhadap lelaki terbabit mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah lain serta sudah berkahwin.

Katanya, ketiga-tiga suspek direman empat hari sehingga 11 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Operasi dijalankan berdasarkan risikan dan maklumat orang awam berhubung lokasi yang menjadi sarang penagih, selain bertujuan mengenalpasti dan memerangi sindiket pengedaran dadah di lokasi berkenaan.

“Kita akan terus memperhebatkan usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di Kuala Lumpur dari semasa ke semasa. Orang ramai boleh menyalurkan maklumat di talian 03-26002222 atau menghubungi IPD Dang Wangi ataupun Hotline Narkotik di 03-26002302,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X