Jumaat, 10 Mei 2019 | 4:21pm
KUANTAN 10 MEI 2019. Bekas Pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jerantut, Abu Zahrim Ismail, 46, kekal dengan hukuman penjara empat tahun selepas Mahkamah Tinggi Kuantan menolak rayuannya yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada 27 Ogos tahun lalu. NSTP/MUHD ASYRAF SAWAL.
KUANTAN 10 MEI 2019. Bekas Pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jerantut, Abu Zahrim Ismail, 46, kekal dengan hukuman penjara empat tahun selepas Mahkamah Tinggi Kuantan menolak rayuannya yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada 27 Ogos tahun lalu. NSTP/MUHD ASYRAF SAWAL.

Rasuah: Hukuman penjara 4 tahun pegawai PERHILITAN kekal

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM117,000 terhadap bekas pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bersabit kes rasuah berjumlah RM23,400 pada November 2013.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu selepas tertuduh, Abu Zahrim Ismail, 45, gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan ke atasnya.

Dalam penghakimannya, Zainal Azman mendapati terdapat modus operandi yang jelas menunjukkan tertuduh memang hendak memperdaya.

“Ini menunjukkan pembabitan secara langsung OKT (orang kena tuduh) di mana bayaran sudah dibuat, tetapi barangan tidak diterima. Sebagai orang yang sudah lama berkhidmat, OKT perlu tahu dan meneliti setiap perolehan barangan.

“Transaksi yang dilakukan memang meragukan kerana pembelian dibuat pada hujung tahun berbanding awal tahun pada kebiasaannya serta kewujudan watak Rosli yang diada-adakan serta dia (OKT) ada mengeluarkan LO (local order).

“Saya bersetuju dengan keputusan hakim bicara (Hakim Mahkamah Sesyen) dari segi fakta dan undang-undang. Oleh itu, saya mengekalkan sabitan dan hukuman yang telah ditetapkan. Dengan ini, rayuan OKT ditolak,” katanya.

Tertuduh yang juga Pegawai Hidupan Liar di Pejabat Penguasa Taman Negara Pahang dengan niat untuk memperdaya Ketua Pengarah PERHILITAN menerusi satu dokumen Pesanan Kerajaan yang mengandungi butiran tuntutan palsu membabitkan pembekalan 28 unit beg sandang bersaiz 75 liter jenama Deuter dan 60 unit drypack 30 liter.

Kesalahan terbabit dilakukan di Pejabat Penguasa Taman Negara, Jerantut pada November 2013 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Bagi permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman hingga selesai rayuan, Zainal Azman meminta perayu membuat permohonan itu secara rasmi.

Sementara menunggu permohonan terbabit dibuat, hukuman penjara terhadap perayu tetap diteruskan bermula hari ini.

Berita Harian X