Khamis, 9 Mei 2019 | 11:54am

Pekebun rugi RM72,000 ditipu sindiket Macau Scam

BENTONG: Seorang pekebun kerugian kira-kira RM72,000 selepas diperdaya seorang wanita yang menyamar anggota polis dipercayai sindiket Macau Scam.

Lelaki berusia 60 tahun itu dikatakan membuat pindahan wang ke dalam akaun yang tidak dikenali pada 24 April lalu selepas mendapat panggilan daripada wanita yang mendakwa anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa dimaklumkan, polis ingin memeriksa akaun miliknya yang kononnya berurusan dengan seorang lelaki terbabit dengan kes pengubahan wang haram dan jual beli dadah.

“Akaun bank mangsa dikatakan terbabit dengan kegiatan seorang penjenayah yang dikenali sebagai Wong Ka Ting. Namun, mangsa menafikan mengenali lelaki berkenaan serta tidak terbabit dengan kes itu.

“Bagaimanapun, suspek meminta mangsa memindahkan wang berjumlah RM72,000 bagi proses pemeriksaan akaun mangsa bertujuan untuk membuktikan yang mangsa tidak terbabit dengan kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudiannya memindahkan wang yang diminta ke dalam satu akaun yang diberikan suspek.

“Selepas itu, mangsa cuba hubungi semula suspek, namun gagal. Satu laporan polis dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, di sini,” katanya.

Mohd Wazir berkata, pihaknya sudah berulang kali mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan perangkap Macau Scam serta diingatkan untuk menghubungi mana-mana balai polis terdekat bagi semakan kesahihan jika mendapat panggilan yang mencurigakan.

Berita Harian X