Rabu, 8 Mei 2019 | 6:57pm

Tiga lelaki disyaki pengedar dadah ditahan

KUALA TERENGGANU: Tiga lelaki disyaki terbabit kegiatan pengedaran dadah, bergelut dengan polis ketika cuba ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Batu Buruk, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.05 tengah malam, ketiga-tiga suspek berusia 21, 22 dan 29 tahun cuba melarikan diri sebelum berjaya diberkas sepasukan pegawai serta anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu yang menjalankan Ops Tapis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Roslan Tahir, berkata tindakan suspek itu menyebabkan seorang daripada mereka luka di tapak tangan, bibir dan siku ketika pergelutan.

“Sebaik sahaja ditahan, kita tidak menemui barang salah pada tubuh mereka. Bagaimanapun, pemeriksaan di lokasi menemui satu botol plastik berisi cecair kehitaman disyaki dadah yang disorokkan di dalam peti sejuk di belakang rumah berkenaan.

“Hasil soal siasat, seorang daripada suspek kemudian mengaku ada menyimpan dadah di dalam sebuah bilik di tingkat bawah kediaman terbabit.

“Hasil pemeriksaan polis kemudian menemui satu beg kertas berisi dua plastik lutsinar mengandungi 10 peket plastik berwarna biru diikat dengan getah yang setiap satu berisi disyaki dadah jenis pil kuda,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Roslan berkata, pihaknya turut menemui sembilan peket plastik yang setiap satu berisi disyaki dadah pil kuda, selain sebuah kotak berisi mesin kira wang dan satu pasport.

“Kita merampas keseluruhan 3,555 biji pil berwarna merah dan 29 biji pil hijau disyaki dadah methamphetamine, selain tiga unit telefon bimbit untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X