KUALA PILAH: Enam lelaki yang disyaki merogol dan mencabul dua remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah rumah di Juasseh, di sini, disambung reman lima hari bermula esok sehingga 13 Mei ini.
Perintah reman terhadap semua suspek berusia 16 sehingga 21 tahun itu dikeluarkan oleh Hakim Nariman Badruddin di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Terdahulu, keenam-enam suspek yang memakai baju lokap tiba di mahkamah dengan diiringi anggota polis, pada jam 9 pagi.
Dalam kejadian 8 malam 30 April lalu, seorang mangsa dirogol secara bergilir-gilir oleh lima lelaki manakala seorang lagi mangsa dicabul kenalannya.
Kedua-dua mangsa sebelum itu dijemput kenalan lelaki masing-masing dengan menunggang dua motosikal untuk makan di kedai makan berhampiran.
Mereka dibawa ke rumah sewa di Juasseh dan apabila sampai, terdapat empat lelaki tidak dikenali turut berada di rumah berkenaan.
Mangsa dibawa masuk ke dua bilik berasingan sebelum seorang daripadanya diperkosa kenalannya dan empat lelaki tidak dikenali itu.