Isnin, 6 Mei 2019 | 8:30pm

Ajal hari pertama Ramadan

MUKAH: Hasrat seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) memetik sayuran hutan di tepi jalan di Kampung Tengah Daro di sini tidak kesampaian apabila maut dirempuh kereta, hari ini.

Mangsa, Mohamad Said Brahim, 36, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Daro, Deputi Superintendan Neil Baginda, berkata kejadian pada jam 11.45 pagi itu berlaku ketika mangsa cuba menyeberang jalan berkenaan.

“Mangsa dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba menyebabkan pemandu kereta jenis Toyota Vios tidak sempat mengelak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Neil berkata jenazah mangsa dihantar ke Hospital Daro untuk tindakan lanjut manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (2) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, adik ipar mangsa, Suhaimi Sepawi, 35, berkata keluarganya terkejut selepas dimaklumkan kejadian itu.

“Lebih menyedihkan, kejadian itu berlaku pada hari pertama Ramadan, namun kami redha dengan ketentuan Allah,” katanya.

Berita Harian X