Rabu, 1 Mei 2019 | 11:32am
LORI membawa muatan sawit bertembung dengan sebuah treler mengorbankan seorang pemandu di Jalan Gua Musang-Kuala Berang. - NSTP/Ramli Ibrahim
LORI membawa muatan sawit bertembung dengan sebuah treler mengorbankan seorang pemandu di Jalan Gua Musang-Kuala Berang. - NSTP/Ramli Ibrahim

Pemandu maut, kelindan parah lori bertembung treler

GUA MUSANG: Seorang pemandu lori maut, manakala kelindannya parah apabila kenderaan dinaiki bertembung sebuah treler di FELDA Aring 6, Jalan Gua Musang-Kuala Berang, dekat sini, semalam.

Dalam kemalangan jam 4.30 petang, Muhamad Zaki Ismail, 30, berasal dari Rancangan Tanah FELDA Chiku 7, meninggal dunia di tempat kejadian.

Kelindan lori terbabit yang juga warga Indonesia hanya dikenali sebagai Budianto, 41, pula cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, pemandu treler terbabit, Muhamad Arif Ikmal Mohti, 22, berasal dari Ipoh, Perak, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata kejadian berlaku ketika lori dipandu mangsa yang sarat dengan muatan sawit, dalam perjalanan dari Aring 6 ke kilang sawit Aring.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, sebuah treler sarat muatan bijih besi dari Aring 5 menghala ke Kuantan dikatakan perlahan menaiki bukit dari arah bertentangan tetapi menggunakan laluan sama dengan mangsa.

“Mangsa dipercayai nampak treler itu terlalu hampir ketika menuruni bukit, namun tidak dapat mengawal lorinya lalu bertembung dengan kenderaan terbabit. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan.

“Siasatan awal mendapati treler yang sarat dengan muatan bijih besi itu dikatakan memasuki laluan sama dari arah bertentangan kerana jalan rosak teruk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk pengebumian, hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X