Isnin, 29 April 2019 | 8:30pm

45 ditahan dalam operasi banteras dadah di ibu negara

KUALA LUMPUR: Seramai 45 orang ditahan menerusi Ops Tapis Khas di sekitar Chow Kit, Tiong Nam, Bukit Bintang, Pudu dan San Peng di sini, kerana disyaki terbabit kegiatan pengedaran dan penyalah gunaan dadah, Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah, berkata menerusi operasi dua hari bermula Rabu lalu itu, seramai 50 individu ditahan untuk pemeriksaan dengan 45 daripadanya ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, lima suspek, termasuk dua wanita tempatan ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati.

“Kita turut merampas 31 paket disyaki berisi dadah jenis heroin dengan anggaran berat 107 gram daripada mereka.

“Selain itu, kita turut merampas dua paket disyaki heroin, 50 biji pil erimin 5, 42 biji pil ekstasi dan sepaket serbuk ekstasi daripada enam lagi suspek, termasuk seorang wanita.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun, dan dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 10 sebatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kesemua mereka kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok untuk membantu siasatan.

Menerusi operasi itu juga katanya, 11 suspek, termasuk seorang warga Myanmar turut ditahan dan 10 paket disyaki berisi dadah jenis heroin dianggarkan seberat 21 gram dirampas.

“Siasatan ke atas mereka dijalankan mengikut Seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 10 sebatan.

“Kesemua mereka kini direman empat hari sebelum dituduh di mahkamah esok,” kata Rudy lagi.

Tangkapan lain, katanya membabitkan 19 suspek terdiri daripada 16 lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang wanita warga Myanmar.

“Kita merampas 14 tiub straw disyaki berisi dadah jenis heroin dianggarkan seberat 2.3 gram dan 11 paket disyaki berisi dadah Methamphetamine dianggarkan seberat 8.4 gram.

“Kesemua mereka direman empat hari sehingga esok sebelum dituduh di mahkamah,” katanya.

Selain itu, empat lelaki tempatan turut ditahan kerana disyaki menyalah gunakan dadah.

“Mereka direman empat hari dan akan dibebaskan dengan jaminan, esok sementara kita menunggu keputusan ujian saringan dadah daripada Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Berita Harian X