Rabu, 24 April 2019 | 4:29pm
PENGERUSI Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse.
PENGERUSI Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

Pencemaran ammnonia, LRA Simpang Renggam ditutup sekali lagi

SIMPANG RENGGAM: Sebanyak 23,000 premis di Simpang Renggam dan Pontian dekat sini, mengalami gangguan bekalan air apabila Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam terpaksa ditutup semalam akibat pencemaran ammonia di Sungai Ulu Benut.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse, berkata penutupan itu yang bermula semalam dibuat kerana LRA berkenaan menggunakan sumber air mentah dari sungai berkenaan.

“Ranhill SAJ terpaksa menghentikan operasi LRA Simpang Renggam kerana kualiti sumber air mentah merosot akibat kandungan ammonia yang tinggi melebihi had yang dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan iaitu 1.5 bahagian seperjuta (ppm).

“Pencemaran dipercayai berlaku apabila benteng kolam air larutan serapan (leachate) di Tapak Pelupusan Sampah CEP 1 Simpang Renggam pecah akibat hujan lebat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 23 Mac lalu, kejadian sama berlaku apabila LRA berkenaan terpaksa ditutup selepas benteng kolam leachate di pusat pelupusan itu pecah akibat hujan lebat, sekali gus menjejaskan bekalan air seramai 75,000 pengguna.

Mengulas lanjut, Wee Tse berkata, sehingga jam 12 tengah hari tadi, bacaan ammonia di Sungai Ulu Benut masih tinggi iaitu 16 ppm.

Katanya, 15,000 pemegang akaun di Simpang Renggam dan Pontian (8,000) terjejas dengan gangguan bekalan air berkenaan.

“Ranhill SAJ sudah menghantar kira-kira 30 lori tangki ke kawasan terjejas dan keutamaan diberikan kepada sekolah dan hospital.

Berita Harian X