Isnin, 22 April 2019 | 7:31pm
Seorang bayi berusia dua bulan meninggal dunia dalam pesawat AirAsia yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Perth, Australia, hari ini. - Arkib NSTP

Usah bimbang bawa bayi naik pesawat

KUALA LUMPUR: Ibu bapa tidak perlu bimbang membawa anak menaiki pesawat kerana risiko komplikasi kesihatan ketika dalam perjalanan terlalu rendah sekiranya bayi dalam keadaan sihat.

Pakar Pediatrik Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Mohammad Iqbal Muhammad Sarwar, berkata hanya bayi yang tidak sihat berkemungkinan besar mengalami gangguan kesihatan ketika dalam penerbangan.

Beliau mengingatkan ibu bapa perlu lebih peka mengenai keadaan anak sebelum memulakan perjalanan dengan menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Menerusi pemeriksaan awal, ibu bapa dapat mengetahui status kesihatan bayi dan boleh menangguhkan jadual penerbangan jika anak tidak sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan laman web abc.net.au, mengenai bayi mengalami situasi ‘kecemasan perubatan’ ketika berada dalam pesawat D7236, dari Malaysia ke Perth Australia, awal pagi tadi.

Dr Mohammad Iqbal Muhammad Sarwar.

Mengulas lanjut, Dr Mohammad Iqbal berkata, sebelum membawa bayi untuk perjalanan jarak jauh, ibu bapa perlu memastikan anak mendapat suntikan yang disaran pakar berdasarkan tahap usia mereka.

Kegagalan mendapatkan vaksin juga katanya, meningkatkan risiko serangan penyakit disebabkan pelbagai faktor terutama ketika berada di lapangan terbang mahupun pesawat kerana mereka berada di tempat awam yang sesak.

Semua faktor ini perlu diberi perhatian kerana mereka membawa bayi yang mana sistem imun badan masih rendah dan mudah diserang virus atau kuman.

Mengulas isu sama, Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Kardiologi Pediatrik, Dr Yong Junina Fadzil, berkata tidak ada had usia minimum membawa bayi menaiki pesawat.

Beliau berkata, pada masa sama bayi berisiko berdepan komplikasi kesihatan sekiranya terkena jangkitan kuman daripada penumpang lain berikutan sistem ketahanan badan masih lemah, terutama bayi yang tidak sihat.

Dr Yong Junina Fadzil. - NSTP/Saddam Yusoff

“Punca komplikasi bayi dalam penerbangan disebabkan beberapa faktor antaranya berlaku jangkitan kuman akibat terdedah di tempat sibuk dan ramai orang seperti di lapangan terbang.

“Kemungkinan ada masalah jantung belum didiagnosis oleh doktor. Bayi pada usia dua bulan mungkin dilahirkan mempunyai masalah sedemikian tetapi belum nampak tanda masalah itu pada usia berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Yong Junina berkata, komplikasi kesihatan bayi di dalam pesawat boleh dielak jika bayi mendapat susu mencukupi memandangkan berlaku dehidrasi kerana tekanan udara dalam pesawat.

Beliau berkata, faktor lain bayi juga berisiko mengalami hipotermia akibat suhu sejuk melampau, hingga menjejaskan fungsi organ dalaman.

“Jadi, ibu bapa perlu memanaskan badan anak perlahan-lahan bagi mengembalikan suhu badan bayi lebih stabil,” katanya.

Berita Harian X