Khamis, 18 April 2019 | 2:30pm
SURI rumah ditahan dipercayai mendera anak angkatnya yang berusia tujuh tahun di Kampung Bogag. - Foto ihsan PDRM

Ibu angkat dera anak

BAU: Seorang suri rumah ditahan kerana dipercayai mendera anak saudaranya yang dijadikan anak angkat berusia tujuh tahun di Kampung Bogag, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu selepas seorang pegawai perubatan yang hadir ke sekolah kanak-kanak itu mendapati terdapat kesan luka pada mangsa.

“Ketika ingin membuat pemeriksaan dan memberikan vaksin kepada mangsa, doktor itu ternampak ada kesan luka baru dan kesan luka lama di beberapa bahagian badannya.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat kesan luka pada tangan dan kaki mangsa sebelum beliau bertindak memaklumkan perkara itu kepada guru besar sekolah terbabit,” katanya di sini, hari ini.

Poge berkata, selepas doktor itu memaklumkan kepada pihak atasannya, beliau diarahkan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, polis kemudian menahan suspek berusia 25 tahun di rumahnya pada jam 4.50 petang semalam untuk siasatan lanjut.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek dan suaminya menjadikan mangsa anak angkat pada tahun 2017 selepas ibu kandung mangsa yang juga kakak suspek bercerai.

“Suami suspek memberitahu isterinya sering mencubit mangsa ketika di rumah kerana marah dan ingin menegur mangsa. Suami suspek juga sudah berkali-kali menegur suspek agar tidak berkasar ketika mengajar mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak itu sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjutan.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Berita Harian X