Khamis, 18 April 2019 | 1:53pm
SAINIH Sunding

Kelibat didakwa Zahir dalam CCTV tidak jelas

BANGI: Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa menunjukkan kelibat Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu tidak jelas bagi membolehkan pengecaman dilakukan.

Ibu kanak-kanak berusia lapan tahun itu, Sainih Sunding, 46, berkata beliau pergi ke sebuah pusat perubatan Islam di sini, bagi melihat sendiri rakaman CCTV terbabit.

Bagaimanapun, katanya, rakaman itu tidak jelas dan sukar bagi dirinya mengesahkan seorang kanak-kanak yang dirakam di dalam video itu adalah anak bongsunya.

“Berdasarkan rakaman itu, kanak-kanak itu nampak macam berisi sedikit jika dibandingkan dengan Zahir. Warna baju dipakai juga tidak sama.

“Sukar untuk saya mengatakan kanak-kanak yang dirakam itu adalah Zahir, saya terus berharap supaya Zahir segera pulang semula ke pangkuan keluarga,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kelibat Muhammad Zahiruddin Putra atau dipanggil Zahir di kalangan keluarga dilihat dalam rakaman CCTV sebuah pusat perubatan Islam di Bandar Baru Bangi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Sainih ketika dihubungi media pagi tadi.

Sainih dilaporkan berkata polis memaklumkan perkara itu ketika memberikan perkembangan terkini pencarian Zahir kepadanya awal pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi, Rosman Majid, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak berkenaan di sekitar Sungai Semenyih, pagi ini, dihentikan.

“Buat masa ini, operasi itu dihentikan berdasarkan petunjuk baharu yang diperoleh polis mengenai lokasi mangsa.

“Bagaimanapun, kami bersedia pada bila-bila masa untuk memberi bantuan sekiranya khidmat bomba diperlukan oleh polis dalam usaha mengesan kanak-kanak terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Zahir dikatakan kali terakhir dilihat kira-kira pada jam 6.30 petang Isnin lalu sebelum ibunya menyedari kehilangannya kira-kira pada jam 7.15 malam selepas dia tidak pulang ke rumah.

Berita Harian X