Khamis, 18 April 2019 | 1:33pm

Polis terima laporan 217 kes tipu, tahan 65 keldai akaun

SEREMBAN: Sebanyak 217 kes penipuan membabitkan pinjaman tidak wujud, panggilan telefon, pembelian dalam talian dan ‘love scam’ dilaporkan di Negeri Sembilan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, membabitkan kerugian RM2.5 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Aibee Ab Ghani, berkata kebanyakan kes didalangi sindiket menggunakan keldai akaun, iaitu individu yang membenarkan akaun mereka digunakan bagi tujuan transaksi wang.

Daripada jumlah kes itu, katanya, seramai 65 pemilik akaun atau keldai akaun sudah ditahan dalam tempoh sama dan diambil tindakan berbanding 38 yang ditahan bagi tempoh sama tahun lalu.

“Siasatan mendapati, individu terbabit sanggup dijadikan keldai akaun semata-mata mahu mendapatkan wang dengan cara mudah tanpa menyedari mereka sebenarnya bersubahat dengan sindiket itu.

“Mereka biasanya ditawarkan bayaran tertentu bagi setiap transaksi sebagai imbuhan kerana membenarkan akaun bank digunakan.

“Namun, ada juga individu tidak tahu akaun digunakan sindiket. Kebanyakannya adalah peminjam wang tanpa lesen yang membenarkan kad bank mereka dipegang pemberi pinjaman itu,” katanya pada sidang media di Pejabat JSJK negeri di sini, hari ini.

Aibee berkata, pemilik akaun atau keldai akaun boleh disiasat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Katanya, polis Negeri Sembilan kini giat memburu 175 individu bagi membantu siasatan kes penipuan sejak 2016 hingga 2018, termasuk 60 peratus daripada mereka adalah keldai akaun.

“Saya menasihatkan orang ramai tidak memberikan akaun perbankan mereka untuk digunakan pihak tertentu kerana boleh dianggap bersubahat,” katanya.

AIBEE Ab Ghani
AIBEE Ab Ghani
Berita Harian X