X
Khamis, 18 April 2019 | 11:07am
Ismadi (tengah) menunjukkan ketulan ganja mampat pada sidang media di IPD Serdang, hari ini.
Ismadi (tengah) menunjukkan ketulan ganja mampat pada sidang media di IPD Serdang, hari ini.

Wanita disyaki bawa 50kg ganja ditahan

SERDANG: Polis menahan seorang wanita disyaki membawa 50 kilogram (kg) ganja di dalam but kereta yang dipandunya, kelmarin.

Wanita berusia lewat 20-an itu ditahan di kawasan Lestari Perdana 3, Seri Kembangan, di sini, kira-kira jam 6 petang.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata suspek dipercayai dalam perjalanan dari Kelantan ke kawasan itu bagi menghantar bekalan dadah untuk pasaran di Lembah Klang.

“Pemeriksaan di dalam but kereta jenis Toyota Vios yang dipandu wanita terbabit menemui beberapa guni baja dan makanan kucing.

“Hasil pemeriksaan terhadap guni terbabit kemudian menemui 50 ketulan ganja mampat di dalam guni berkenaan.

“Soal siasat terhadap suspek mendapati dia memperoleh bekalan dadah itu dari Kelantan sebelum diedarkan di sekitar Lembah Klang. Suspek dipercayai baru saja bergiat aktif mengedar dadah berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini, hari ini.

Ismadi berkata, wanita itu direman tujuh hari bermula semalam hingga 23 April ini bagi membantu siasatan.

“Kami juga sedang mengesan individu lain dipercayai terbabit kegiatan pengedaran dadah dilakukan wanita berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Berita Harian X