Khamis, 18 April 2019 | 10:28am
LOKASI kejadian seorang warga emas maut selepas dibaham buaya di Sungai Batang Oya di Kampung Bakong, Dalath. - Foto Harun Yahya
LOKASI kejadian seorang warga emas maut selepas dibaham buaya di Sungai Batang Oya di Kampung Bakong, Dalath. - Foto Harun Yahya

Tekad buru 'Si Kudung' mahu balas dendam

MUKAH: Waris Seruji Salleh, 73, warga emas yang terkorban dibaham buaya di Sungai Batang Oya di Kampung Bakong, Dalat kelmarin bertekad mahu memburu reptilia ganas itu.

Sepupunya, Ramlee Chas, 63, berkata berkata beliau dan keluarganya kini sedang berusaha menghubungi beberapa ‘pawang buaya’ di negeri ini yang memiliki kemahiran dan pengalaman bagi tujuan itu.

“Tiga ahli keluarga kami mati dibaham buaya dalam tempoh tiga tahun. Kejadian pertama membabitkan suami sepupu saya pada 2017...mayat mangsa yang berusia 70-an ditemui dengan sebelah kakinya hilang.

“Kes kedua membabitkan seorang lagi sepupu berusia lingkungan 60-an pada tahun berikutnya, dengan mayatnya ditemui sempurna tetapi dadanya berlubang dipercayai kesan gigitan buaya,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini hari ini.

Katanya, kejadian ketiga berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari, Selasa lalu, apabila Seruji dibaham buaya ketika sedang mandi di sungai berkenaan untuk menyejukkan badannya selepas bekerja di bawah terik matahari.

Difahamkan, usaha mencari mangsa dilancarkan selepas adiknya menyedari abangnya tidak pulang ke rumah pada jam 4 petang sebelum mayat warga emas itu ditemui di tebing sungai berhampiran Kampung Terus, Oya.

Ramlee menjelaskan ada penduduk kampung terlihat seekor buaya menghempas sesuatu objek di permukaan sungai, namun ketika itu belum kecoh kes sepupunya dibaham reptilia itu.

“Hanya selepas berita kehilangan sepupu saya itu gempar, barulah mereka menemui kami dan menceritakan kejadian disaksikan mereka.

“Mayat sepupu saya ditemui tidak jauh dari lokasi penduduk kampung melihat buaya berkenaan. Kami percaya buaya sama membaham sepupu kami,” katanya.

Difahamkan, buaya sepanjang 4.5 meter dan berwarna kehitaman mendapat jolokan ‘Si Kudung’ kerana keadaan ekornya yang agak pendek.

Ramlee ketika mengulas lanjut, berkata jenazah sepupunya selamat dikebumikan malam kelmarin.

“Kami berharap individu yang memiliki kemahiran menangkap buaya atau pawang buaya boleh menghulurkan bantuan Biarlah kali ini keluarga kami menemui ‘penamat’ tragedi ini,” katanya.

Berita Harian X