Rabu, 17 April 2019 | 1:49pm
Omar Bakhtiar (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kuala Kurau dan Selinsing pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Omar Bakhtiar (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kuala Kurau dan Selinsing pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Polis lumpuhkan pengedaran dadah di Selinsing, Kuala Kurau

BAGAN SERAI: Dua beradik termasuk seorang banduan yang baru dibebaskan antara lima pengedar dan penagih dadah ditahan dalam tiga serbuan berasingan yang dibuat sepasukan anggota polis baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata serbuan pertama di sebuah rumah di Parit Haji Said, Kuala Kurau, kira-kira jam 9 malam pada 11 April lalu dan menahan dua beradik berusia 40-an.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam rumah itu menemui 10 paket plastik lutsinar dan satu penyedut minuman berisi bahan dadah disyaki heroin seberat 16.7 gram bersama peralatan menghisap dadah.

“Enam jam kemudian, polis menyerbu sebuah rumah yang terletak berhadapan rumah dua beradik itu dan menahan dua lelaki berusia 30-an yang leka menghisap dadah, dengan seorang daripadanya didapati baru dibebaskan dari penjara akhir tahun lalu.

“Pemeriksaan dalam rumah itu menemui tiga paket plastik lutsinar dan tujuh penyedut minuman disyaki mengandungi bahan heroin seberat 151.16 gram bersama peralatan menghisap dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini, hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, siasatan lanjut mendapati keempat-empat suspek mempunyai rekod jenayah dan saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis morphine.

Katanya, kesemua dadah yang dirampas dianggarkan seberat 167.23 gram bernilai kira-kira RM10,000 manakala semua suspek yang sudah direman enam hari sebelum ini disambung lagi selama lima hari bermula hari ini.

Beliau berkata, polis juga menyerbu sebuah rumah di Sungai Baru, Selinsing, dekat sini dan menahan seorang lelaki berusia 40-an sedang menghisap dadah di bahagian atas rumah berkenaan, hasil maklumat empat lelaki yang ditahan sebelum ini.

“Polis menemui enam plastik lutsinar berisi bahan dadah dipercayai heroin seberat 201.04 gram dan dua paket lutsinar berisi bahan dadah dipercayai methamphetamine seberat 4.07 gram di dalam kotak kasut sukan bersama peralatan menghisap dadah.

“Nilai dadah yang dirampas dari suspek ini dianggarkan RM15,000 dan harganya mampu mencecah sehingga tiga kali ganda selepas ia diproses dan dibungkus semula,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek berkenaan adalah pembekal utama kepada empat suspek yang ditahan dan dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis yakin dapat melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah di kawasan Selinsing dan Kuala Kurau dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X